AGENDA

Polis siasat Muhyiddin isu 'fatwa' politik dalam ceramah PRK

4 Sep 2023, 6:10 AM
Polis siasat Muhyiddin isu 'fatwa' politik dalam ceramah PRK

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Sabtu ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilakukan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Beliau berkata PDRM menerima satu laporan mengenai kenyataan Muhyiddin itu yang dibuat di sebuah balai polis di sini dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Tindakan selanjutnya polis akan mengambil keterangan beliau (Muhyiddin) dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sabtu lepas, Ahli Parlimen Pagoh itu semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa "haram memberikan undi kepada Suhaizan."

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 5 September dan hari mengundi pada 9 September ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619