AGENDA

Tindakan pantas bomba selamatkan dua beranak terperangkap rumah terbakar

31 Ogos 2023, 5:43 AM
Tindakan pantas bomba selamatkan dua beranak terperangkap rumah terbakar

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan dua beranak yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan SR7/1 Taman Serdang Raya, pagi tadi.

Komander Operasi Saharudin Abd Razak berkata panggilan kecemasan yang diterima pihaknya pada pukul 5.35 pagi itu berjaya menyelamatkan wanita warga emas berusia 62 tahun dan anak lelakinya, 30, yang ketika itu mengalami sesak nafas akibat menghidu asap tebal.

“Apabila tiba, kami mendapati terdapat dua mangsa terperangkap di tingkat atas rumah terbabit dan mengalami sesak nafas manakala dua lagi mangsa yang berada tingkat bawah berjaya keluar. Pihak bomba terpaksa memecahkan geriji besi tingkap untuk membawa keluar kedua-dua mangsa yang hampir pengsan.

“Seterusnya tindakan pantas pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang memberikan bantuan oksigen berjaya menyelamatkan mangsa sebelum pasukan perubatan tiba,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Saharudin berkata kedua-dua mangsa seterusnya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kami masih menunggu laporan daripada forensik,” katanya.

Dalam kejadian itu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Serdang dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Tun Husein Onn telah dikerah ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman kebakaran rumah teres milik keluarga berkenaan yang terbakar lebih 70 peratus.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619