AGENDA

Kementerian: Malaysia tidak iktiraf tuntutan China di Laut China Selatan

30 Ogos 2023, 10:49 AM
Kementerian: Malaysia tidak iktiraf tuntutan China di Laut China Selatan

PUTRAJAYA, 30 OGOS: Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam “Peta Standard China Edisi 2023”, yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia, tegas Kementerian Luar.

Peta itu sama sekali tidak mengikat Malaysia, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peta itu, antara lain, menunjukkan tuntutan maritim sepihak oleh China yang melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979,” katanya.

Tambahnya seperti yang ditegaskan Kerajaan Malaysia berhubung isu Laut China Selatan sebelum ini termasuk isu persempadanan maritim, Malaysia secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Malaysia juga berpandangan bahawa isu Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif.

Isu ini perlu dikendalikan secara aman dan rasional melalui dialog dan rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982).

“Malaysia komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan secara menyeluruh dan efektif.

“Malaysia juga komited terhadap proses rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang efektif dan substantif, serta terhadap sasaran untuk memuktamadkan COC seawal mungkin,” katanya.

Kementerian Sumber Asli China pada Isnin mengeluarkan “Peta Standard China Edisi 2023” yang turut meliputi kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam, selain beberapa kawasan di India.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619