AGENDA

Sultan Selangor harap semua negeri dapat anggotai MKI secara rasmi

28 Ogos 2023, 6:57 AM
Sultan Selangor harap semua negeri dapat anggotai MKI secara rasmi

SHAH ALAM, 28 OOGOS: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan harapan negeri-negeri yang masih belum menganggotai Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dapat menyahut pelawaan dan menganggotai platform musyawarah majlis itu secara rasmi.

Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI bertitah majlis itu adalah sebuah institusi yang mendapat perkenan Majlis Raja-Raja bukan sahaja dari segi penubuhan, malah dari segi keahliannya.

“Keanggotaan utama dalam MKI adalah daripada wakil negeri-negeri yang memainkan peranan yang amat penting di dalam menyelaras hal ehwal Islam,” titah baginda pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi Majlis itu.

Sultan Sharafuddin bertitah walaupun telah banyak kejayaan dicapai melalui rundingan di platform MKI, masih terdapat pelbagai perkara yang belum selesai yang memerlukan penglibatan semua ahli-ahli mesyuarat mencetuskan idea dan buah fikiran yang bernas.

Dalam perkembangan lain, Sultan Selangor bertitah baginda mendapati masih ada pihak membangkitkan pandangan secara terbuka berkaitan beberapa isu sensitif yang seharusnya dibincang melalui forum MKI, seperti pertikaian kaedah rukyah dalam menetapkan tarikh permulaan Ramadan serta menentukan anak bulan Syawal.

“Beta berasa dukacita dengan perkembangan ini, kerana walaupun mereka menyatakan tujuannya adalah untuk menegakkan hujah, tapi kenapa sampai menimbulkan keraguan tentang kearifan para mufti yang memahami ilmu falak dan mengambil keputusan yang tidak bertepatan dengan apa yang telah dipersetujui.

“Ini sudah tentunya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam yang akhirnya boleh mengundang kepada perpecahan,” titah baginda.

Oleh itu, Sultan Sharafuddin bertitah bagi mengelak kekeliruan pada masa akan datang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hendaklah mengeluarkan satu ketetapan muktamad berkaitan kaedah penentuan tarikh permulaan Ramadan serta menentukan anak bulan Syawal melalui rukyah dan hisab.

Dalam perkembangan lain, Sultan Selangor turut mencadangkan agar pihak Jakim menyediakan kertas kerja bagi membuat dasar dan prosedur yang komprehensif bagi pendaftaran institusi tahfiz swasta dan persendirian untuk diguna pakai di setiap negeri.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619