AGENDA

Menteri: Kebebasan media tidak bermakna bebas fitnah, sebar maklumat salah

19 Ogos 2023, 12:30 PM
Menteri: Kebebasan media tidak bermakna bebas fitnah, sebar maklumat salah

PUTRAJAYA, 19 OGOS: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata walaupun hak kebebasan media dan bersuara dijamin di negara ini, tetapi ia tidak bermaksud mana-mana pihak bebas memfitnah dan menyebarkan maklumat yang palsu dan salah.

"Kita setakat ini tidak ada sebarang media rasmi dan media yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan diambil apa-apa tindakan dan itu adalah jaminan.

“Secara amnya saya boleh kata kita tidak boleh benarkan sekiranya ada maklumat yang salah, berunsur fitnah, menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum) untuk dipermainkan oleh mana-mana pihak," katanya kepada media selepas melancarkan kempen Astro #DemiNegaraku dan Home of Kids, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat beberapa portal berita, antaranya MalaysiaNow, UtusanTV dan TV Pertiwi, yang didakwa memberi persepsi bahawa kerajaan menghalang kebebasan media.

Sementara itu, Fahmi berkata kerangka kawal selia Home of Kids yang dibangunkan Astro membolehkan ibu bapa menetapkan siaran tertentu tanpa kerisauan apabila meninggalkan anak-anak menonton sendirian.

“Ibu bapa harus waspada dengan kandungan yang disiarkan di televisyen atau media sosial supaya anak-anak selamat daripada sebarang bentuk fahaman negatif,” katanya.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Astro menawarkan pelbagai kandungan menarik menerusi dua saluran percuma #DemiNegaraku iaitu di saluran 100 untuk pelanggan Astro dan NJOI bermula 20 Ogos-17 September dan Ultraman di Saluran 400 untuk semua pelanggan Astro pada 20 Ogos-30 September.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619