AGENDA

Sistem saraan baharu bantu penjawat awam tangani kos sara hidup

18 Ogos 2023, 10:44 AM
Sistem saraan baharu bantu penjawat awam tangani kos sara hidup

KOTA KINABALU, 18 OGOS: Penjawat awam di negara ini memerlukan sistem saraan baharu bagi membantu mereka berdepan peningkatan kos sara hidup, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat.

Beliau menyifatkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan sejak 2002 bagaikan kerangka 'rumah lama' yang sudah tidak sesuai.

Katanya antara faktor yang perlu diteliti bagi sistem baharu itu termasuk kos sara hidup masa kini, struktur jabatan serta skop kerja yang telah berubah dan tahap kelayakan bagi memasuki suatu skim perkhidmatan.

Bagaimanapun, Adnan berkata Ceupacs memahami kerajaan memerlukan masa untuk memuktamadkan suatu sistem saraan baharu yang bersesuaian, justeru pihaknya memohon kerajaan agar melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem sedia ada, seperti kenaikan elaun atau imbuhan tetap lain.

"Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana prihatin dengan permohonan kami antaranya dengan kenaikan gaji penjawat awam menjelang pembentangan Belanjawan negara pada Oktober ini. Kami zahirkan rasa terima kasih ini dengan produktiviti, kualiti dan integriti dalam kerja.

"Namun, kita mahukan sistem saraan baharu menggantikan SSM, tetapi jika kerajaan tidak mampu pada masa ini kita mohon kerajaan berikan kenaikan seperti imbuhan tetap lebih awal...” katanya ditemui selepas Perhimpunan Penjawat Awam Sempena Program Merdeka MADANI Ceupacs di sini hari ini.

Pada 11 Ogos lalu, Anwar dilaporkan berkata kerajaan berusaha untuk menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan MADANI kedua yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

Perdana Menteri berkata ia sebagai langkah sementara, sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan, dijangka tahun depan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619