BERITA UTAMA

Tema Hari Kebangsaan ajak rakyat kukuh perpaduan hadapi cabaran

14 Ogos 2023, 1:17 AM
Tema Hari Kebangsaan ajak rakyat kukuh perpaduan hadapi cabaran
Tema Hari Kebangsaan ajak rakyat kukuh perpaduan hadapi cabaran

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” tema yang dipilih bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, mempunyai maksud yang cukup bermakna untuk dihayati segenap lapisan rakyat.

Tema tahun ini bertepatan dengan landskap sosiopolitik negara dan mengajak rakyat mengukuhkan semangat perpaduan dalam menghadapi pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi global.

Penganalisis Politik Mujibu Abd Muis berkata mesej tema itu jelas melambangkan betapa pentingnya perpaduan dalam memacu pembangunan ekonomi negara serta mengangkat martabat rakyat ke tahap yang lebih tinggi.

“Penting bagi negara rencam seperti Malaysia untuk bersatu kerana kerencaman adalah aset utama negara. Kalau suatu akomodasi mampu dilakukan, penyatuan warga yang rencam akan membawa banyak manfaat kepada negara dalam sektor ekonomi dan sosial.

“Kemajuan ekonomi hanya boleh dihasilkan kalau kestabilan wujud. Ia (kestabilan) hanya wujud kalau rakyat bersatu dan saling membantu, dan sebaliknya pula kalau berpecah dan bertelingkah, negara akan mundur dan hancur,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut Mujibu yang juga Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata tema itu menampakkan ketegasan kerajaan dalam meningkatkan perpaduan dengan menitikberatkan sikap saling memahami dan bertoleransi antara kaum selain memperbaiki kelemahan yang wujud dalam kalangan masyarakat.

Katanya, dalam konteks keunikan Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya, Perlembagaan dan Rukun Negara perlu dijadikan pegangan tidak kira dalam apa juga keadaan supaya negara kekal aman.

Menurut Mujibu kerajaan boleh terus memperkasakan perpaduan dengan mempelbagaikan kegiatan bersifat patriotik, mewujudkan pelan jangka panjang yang berkesan bagi membentuk identiti negara bangsa serta memastikan sebarang bentuk fahaman ekstremisme yang menyentuh keharmonian antara kaum dan agama tidak berlaku.

[caption id="attachment_537979" align="alignnone" width="841"] Pertunjukan bunga api sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kluster Kesepaduan Sosial dan Perpaduan Nasional, Akademi Profesor Malaysia (APM) Prof Dr Sarjit Singh Gill berkata perpaduan yang utuh, penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang disegani di persada antarabangsa seterusnya menarik pelaburan asing.

“Mereka (pelabur) meninjau aspek politik khususnya kestabilan dan tadbir urus. Saya percaya masyarakat Malaysia semakin rasional dan komited untuk menyemai benih perpaduan yang positif seperti dalam institusi keluarga, institusi agama, institusi pendidikan dan institusi politik,” katanya.

Selain itu, Sarjit Singh berkata idealisme yang dibawa melalui tema yang dipilih bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini adalah penting bagi membina identiti negara bangsa seperti yang diidamkan sejak kemerdekaan.

“Agenda perpaduan nasional masih diusahakan secara gigih oleh kerajaan sejak merdeka pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963. Usaha ini dicabar dengan landskap politik dan sosial yang dinamik sifatnya khususnya dalam mengurus kepelbagaian etnik di Malaysia,” katanya.

Beliau berpendapat menerusi tema tahun ini, jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan yang menekankan nilai saling menghormati dan mementingkan keadilan dalam usaha untuk membangunkan Malaysia Madani.

“Kebenaran, keadilan dan kasih sayang merupakan panduan hidup setiap agama. Saya perhatikan masyarakat kita hidup secara harmoni dan mulai menghargai kepelbagaian sebagai kekuatan,” katanya.

Namun, menurutnya usaha itu kadangkala terganggu apabila terdapat golongan yang sengaja menimbulkan isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R) untuk meraih perbatuan politik.

“Pada hemat saya, golongan tersebut perlu membaca dan mendalami Dasar Perpaduan Negara, Dasar Kebudayaan Negara serta Dasar Keselamatan Negara. Semua dasar ini penting dalam menyemai hubungan sesama manusia dan budaya damai sekali gus membina persefahaman yang baik dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini akan diadakan di Dataran Putrajaya manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619