AGENSI

Negeri umum cuti peristiwa esok selepas Kerajaan Perpaduan kekal tadbir Selangor

13 Ogos 2023, 5:48 AM
Negeri umum cuti peristiwa esok selepas Kerajaan Perpaduan kekal tadbir Selangor

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Negeri mengisytiharkan esok sebagai cuti umum bagi seluruh Selangor selepas ganding Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) kembali membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato' Haris Kasim berkata cuti peristiwa itu sempena pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung semalam.

"Sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk mengisytiharkan Isnin 14 Ogos bersamaan 27 Muharram 1445H sebagai cuti hari kelepasan am bagi seluruh negeri sempena PRN Selangor Ke-15," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi amanat khas mengumumkan cuti peristiwa pada Isnin ini sekiranya Kerajaan Perpaduan terus mengekalkan pentadbirannya di Selangor pada PRN.

Suruhanjaya Pilihan Raya malam tadi mengumumkan gabungan Perpaduan yang terdiri daripada HARAPAN dan BN Selangor menang 34 daripada keseluruhan 56 kerusi sekali gus kembali membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Dalam sidang media malam tadi, Amirudin menjelaskan keputusan tersebut mendekati dua pertiga majoriti jika menang empat lagi kerusi yang tewas dengan majoriti tipis.

Dalam kempen pilihan raya, beliau yakin dapat mencapai majoriti dua pertiga, atau 38 kerusi, namun empat kerusi tewas tipis bawah 500 undi.

Kerusi tersebut ialah Taman Medan yang kalah dengan majoriti 30 undi, Gombak Setia (58 undi) dan Sungai Kandis (167 undi) dan Dengkil (407 undi).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619