AGENDA

Wanita rugi lebih RM118,000 ditipu sindiket tawaran kerja sambilan

8 Ogos 2023, 2:27 AM
Wanita rugi lebih RM118,000 ditipu sindiket tawaran kerja sambilan

KUANTAN, 8 OGOS: Wanita mendakwa kerugian RM118,767.49 selepas terpedaya dengan sindiket tawaran kerja sambilan yang menjerat mangsa dengan menawarkan gaji tinggi secara dalam talian.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 22 tahun itu mendakwa ditawarkan pekerjaan oleh wanita dikenalinya menerusi laman sosial Instagram pada 23 Julai lalu.

"Suspek dikatakan menawarkan mangsa untuk menyelesaikan satu tugasan dengan bayaran selain turut memberikan nombor telefon untuk dihubungi jika mangsa berjaya melakukan kerja itu.

"Mangsa yang menghubungi suspek kemudiannya ditawarkan pula tugasan melakukan tangkap layar barangan di pautan diberikan dengan dijanjikan keuntungan bagi setiap tangkap layar dibuat," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa yang bekerja di sebuah institusi pendidikan di sini, tertarik dengan 'kerja' itu kerana telah menerima upah RM47 selepas menyelesaikan dua tugasan, menyebabkan dia terus menghubungi suspek untuk mendapatkan tugasan selanjutnya.

Suspek didakwa mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran terlebih dahulu sebelum membuat 20 transaksi pemindahan wang ke 11 akaun yang diberikan.

"Mangsa yang menggunakan wang simpanan bagi membuat bayaran itu turut meminjam daripada bank dan rakan sebelum menyedari dirinya ditipu apabila menyedari jumlah wang yang telah dikeluarkan," katanya.

Yahaya berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan petang semalam.

Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja melalui media sosial terutama yang menawarkan gaji lumayan bagi kerja mudah serta membuat semakan latar belakang syarikat terlibat.

Orang awam juga dinasihatkan membuat semakan nombor akaun diterima menerusi https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat transaksi pemindahan wang bagi mengelakkan ditipu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619