AGENDA

Suami disyaki pukul isteri hingga maut ditahan bersembunyi di Johor

1 Ogos 2023, 9:17 AM
Suami disyaki pukul isteri hingga maut ditahan bersembunyi di Johor

SERDANG, 1 OGOS: Lelaki yang disyaki memukul isterinya sehingga maut di Kajang, bulan lalu ditahan petang semalam ketika menyembunyikan diri di Senai, Johor, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Hussein berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Suspek dipercayai cuba bersembunyi daripada polis dengan melarikan diri ke Johor, namun hasil risikan, kita berjaya mengesan lokasi persembunyian," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Ulang Tahun Polis Bantuan ke-7 Sime Darby Property Berhad di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, lelaki berumur 32 tahun itu ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Dalam kejadian 23 Julai lalu, seorang wanita dipercayai mangsa kes pukul dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kajang.

Polis menerima laporan berhubung kematian mangsa daripada jururawat di hospital berkenaan, selepas menyedari wanita itu tidak sedarkan diri dan disyaki telah meninggal dunia dengan mempunyai beberapa kesan lebam serta kecederaan badan.

Dalam perkembangan lain, Hussein berkata setakat tahun ini, polis Selangor menerima 17 laporan berhubung ajaran sesat Si Hulk.

“Siasatan mendapati pengikut ajaran sesat Si Hulk kini tidak lagi berada di Selangor, berkemungkinan telah ke luar negara,” katanya.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan fahaman serta ajaran yang diasaskan Suhaini Mohammad atau Si Hulk adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam kerana antara lain mendakwa Nabi Muhammad SAW ialah Tuhan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619