AGENDA

PM pengerusikan mesyuarat kaji semula sistem saraan khidmat awam 7 Ogos

1 Ogos 2023, 8:18 AM
PM pengerusikan mesyuarat kaji semula sistem saraan khidmat awam 7 Ogos

PUTRAJAYA, 1 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) pada 7 Ogos ini bagi membincangkan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan hari ini berkata mesyuarat itu adalah susulan pengumuman perdana menteri baru-baru ini bagi mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan awam.

Kajian SSPA itu adalah sebagai inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam seiring dengan aspirasi Membangun Malaysia MADANI.

"JPA komited menjaga kebajikan penjawat awam dengan menambah baik sistem saraan secara komprehensif bagi memastikan perkhidmatan awam berdaya tahan dalam mendepani cabaran di masa hadapan," katanya.

Menurut JPA, ia sedang memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh kementerian, jabatan dan agensi hasil usaha yang digerakkan sejak 26 Julai lalu melalui beberapa sesi libat urus bersama kementerian dan agensi kerajaan persekutuan yang merangkumi enam kluster iaitu keselamatan, kesihatan, pendidikan, sains dan teknologi, teknikal serta pengurusan.

Bagi memastikan cadangan penambahbaikan yang diterima bersifat terangkum, JPA telah membangunkan portal khusus bagi menerima input daripada seluruh penjawat awam.

Segala cadangan penambahbaikan serta pembaharuan boleh dikemukakan melalui portal kajian SSPA menerusi laman sesawang https://semakansaraan.jpa.gov.my.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619