AGENDA

Anggota SPRM pakai kamera badan ketika operasi siasatan

31 Jul 2023, 6:42 AM
Anggota SPRM pakai kamera badan ketika operasi siasatan

PUTRAJAYA, 31 JULAI: Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan tugasan operasi siasatan kini akan dilengkapkan dengan kamera badan (BWC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kamera itu akan merekodkan secara audio dan visual setiap peristiwa yang berlaku semasa proses siasatan.

Berucap pada majlis pelancaran BWC dan jaket SPRM di sini hari ini, Azam berkata inisiatif berkenaan yang membabitkan sebanyak 142 unit kamera sebagai permulaan, adalah untuk meningkatkan ketelusan agensi itu dalam melaksanakan operasi siasatan.

“Ketelusan amat penting kerana kita tidak mahu SPRM disyak wasangka dengan pelbagai tohmahan. Dengan adanya BWC ini kita dapat kurangkan ‘cakap yang bukan-bukan’ (mengenai) pegawai kita,” katanya.

Kesemua 142 BWC itu akan diedarkan kepada anggota SPRM di ibu pejabat dan negeri secara berperingkat dan pihak SPRM juga bercadang untuk menambahkan bilangannya, katanya.

Pada sidang media selepas majlis pelancaran itu, Azam berkata pembelian BWC itu tidak menelan kos yang tinggi kerana peranti tersebut diperoleh terus daripada pembekal mengikut harga pasaran, selain tidak menggunakan sistem khusus.

“Jika kita beli sistem, maknanya ia akan disimpan dalam bentuk data. Untuk jimatkan masa dan lebih praktikal, kita guna kamera ini secara persendirian di mana kad SD akan disimpan untuk rujukan jika ada keperluan untuk ke mahkamah atau isu lain,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619