AGENDA

10,000 calon SPM 2022 daftar ulangan peperiksaan tahun ini

30 Jul 2023, 10:17 AM
10,000 calon SPM 2022 daftar ulangan peperiksaan tahun ini

SUNGAI PETANI, 30 JULAI: Sebanyak 10,000 daripada hampir 30,000 calon yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 telah mendaftar untuk ulangan peperiksaan itu tahun ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ia merupakan komitmen kementeriannya yang melanjutkan tempoh pendaftaran SPM 2023 bagi calon persendirian sehingga berjaya merekodkan pendaftaran daripada 10,000 calon itu untuk mereka menduduki peperiksaan itu demi masa depan masing-masing.

"Semasa kita ambil keputusan untuk maklumkan keciciran atau ketidakhadiran pelajar SPM yang lepas, kita dapat mengumpulkan data seramai lebih kurang (hampir) 30,000 orang.

“Komitmen kita ialah melakukan intervensi terhadap 30,000 ini ke mana mereka, kenapa tak hadir, alasan dan sebagainya, alhamdulillah, kita dapat kenal pasti, apabila kita buat program dan membuka lanjutan tempoh untuk mendaftar ulangan SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program YES! Rock The School Edisi Mega Kedah 2023 di Universiti Aimst dekat sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar.

Pada 20 Jun lalu, media melaporkan 30,000 calon SPM 2022 yang tidak menghadiri peperiksaan itu menerima peluang kedua apabila Kementerian Pendidikan melanjutkan tarikh pendaftaran peperiksaan SPM 2023 bagi calon persendirian hingga 30 Jun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu dilaporkan memandang serius terhadap laporan hampir 30,000 pelajar tidak menduduki SPM dan mengarahkan Fadhlina meneliti terperinci isu itu supaya ia tidak berulang pada tahun akan datang.

Fadhlina berkata pihaknya kini memberikan perhatian terhadap kira-kira 20,000 orang lagi yang tidak mendaftar untuk mengulang peperiksaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619