AGENDA

Malaysia terbaik di Asia Tenggara dalam indeks peralihan tenaga

20 Jul 2023, 9:48 AM
Malaysia terbaik di Asia Tenggara dalam indeks peralihan tenaga

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Malaysia diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini.

Indeks tersebut mengambil kira prestasi sistem dan kesediaan negara untuk beralih ke sumber tenaga yang lebih mesra alam.

Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, pencapaian ini menunjukkan bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat bagi pengurusan peralihan tenaga yang pantas, selamat dan berpatutan.

“Selain itu, Malaysia juga mempunyai pelbagai kelebihan strategik seperti lokasi yang strategik, sumber tenaga boleh baharu (TBB) yang pelbagai dan tahap kemahiran yang tinggi untuk menjadi peneraju serantau dalam bidang peralihan tenaga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Malaysia dijangka mampu meraih peluang untuk menarik pelaburan global dalam sektor teknologi bersih yang telah mencecah RM5 trilion pada 2022.

Nilai itu dijangka terus meningkat pada tahun-tahun mendatang, katanya.

Sementara itu, pada 27 Julai, 2023, Kementerian Ekonomi akan meluncurkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1 semasa program Invest Malaysia KL 2023 Special Series anjuran Bursa Malaysia dengan kerjasama CLSA dan Maybank di Kuala Lumpur.

Peluncuran NETR Fasa 1 merupakan titik permulaan dalam usaha mengarusperdanakan peralihan tenaga naratif pembangunan negara.

NETR akan mengumumkan pelaksanaan 10 projek rintis perdana yang dijangka menjana pelaburan berjumlah RM25 bilion, mewujudkan 23,000 peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi serta pengurangan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram setahun secara kumulatif.

NETR adalah tindakan tuntas susulan pembaharuan dasar semasa berkaitan TBB oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim, khususnya peningkatan sasaran baharu kapasiti terpasang TBB daripada 40 peratus pada tahun 2035 kepada 70 peratus menjelang tahun 2050.

Kementerian Ekonomi berharap NETR dapat memandu agenda strategik untuk mencipta peluang pekerjaan baharu bergaji tinggi, merancakkan penyertaan pelaburan dalam dan luar negara, menjamin kelangsungan bekalan tenaga negara, dan menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam industri tenaga bersih bagi jangka masa panjang.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619