EXCO

Amanah tanding sembilan kerusi termasuk Hulu Bernam

17 Jul 2023, 9:44 AM
Amanah tanding sembilan kerusi termasuk Hulu Bernam

KLANG, 17 JULAI: Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor bertanding sembilan kerusi termasuk Hulu Bernam dalam pilihan raya negeri (PRN), kata Pengerusinya Ir Izham Hashim.

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada peringkat tertinggi yang menetapkan parti tersebut bertanding di Hulu Bernam manakala kerusi Jeram ditandingi calon Barisan Nasional (BN).

"Amanah sebelum ini ada sembilan kerusi termasuk Jeram dan selepas perbincangan, akhirnya keputusan dipersetujui BN ambil Jeram dan Amanah bertanding di Hulu Bernam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas simbolik pecah tanah bagi kerja pembinaan kolam takungan dan kerja berkaitan di Lebuhraya Shapadu bersebelahan Taman Mutiara Bukit Raja di sini hari ini.

Pada 14 Julai, Ir Izham berkata Amanah meletak calon muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Serdang berikutan penyandang kerusi Dr Siti Mariah Mahmud dari parti sama tidak bertanding.

Pada 21 Jun, Dr Siti Mariah yang juga EXCO negeri menyatakan hasrat untuk tidak mempertahan kerusi berkenaan. Beliau sebelum ini menang dengan majoriti 14,363 undi pada 2018.

Selain itu, Ir Izham menjelaskan pembahagian 56 kerusi DUN di Selangor melibatkan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN telah selesai dan pengumuman calon dijangka pada 25 Julai.

Beliau yang juga EXCO negeri menambah proses rundingan kerusi tidak menganggu kerjasama dan gerak kerja jentera pilihan raya HARAPAN dan BN sekalipun proses rundingan masih berlangsung.

"Hubungan akrab bukan hanya pembahagian kerusi tetapi juga jentera pilihan raya," katanya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619