AGENDA

Peruntukan RM4.61 juta bantu sekolah agama rakyat di Pulau Pinang

16 Jul 2023, 1:30 PM
Peruntukan RM4.61 juta bantu sekolah agama rakyat di Pulau Pinang

JAWI, 16 JULAI: Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.61 juta bagi Bantuan Sekolah Agama Rakyat (BSAR) Negeri Pulau Pinang untuk tahun ini, dalam usaha memperkukuhkan institusi pendidikan agama di negeri itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tersebut meliputi Kelas Asas Fardhu Ain (Kafa) (RM1.37 juta), Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) (RM541,740) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) (RM394,750).

“Sekolah Tahfiz diluluskan sebanyak RM191,740, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) diberi RM184,700, sekolah pondok sebanyak RM160,000 dan Tadika Islam (TADIS) RM63,830,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan di sini hari ini.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut meluluskan RM500,000 bagi Kafa Menengah (Yayasan Islam Pulau Pinang) dan RM1.2 juta bagi Zakat Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan peruntukan Kerajaan Perpaduan yang diwakili pelbagai parti politik tanah air kepada Islam dan orang Melayu, lebih tinggi berbanding peruntukan yang diberikan tiga tahun lepas, ketika negara di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

Justeru, beliau meminta rakyat agar tidak terpedaya dengan fitnah yang ditaburkan pembangkang mengenai kestabilan, bantuan dan kesediaan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan bangsa.

“Saya memegang amanah, saya berterima kasih kepada kawan-kawan saya baik dalam PKR, Amanah ataupun DAP, tidak pernah timbul isu peruntukan. UMNO yang telah bersama dengan kita, nampak dalam prinsip ini dia juga tidak berbeda pendapat,” kata Perdana Menteri.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619