AGENDA

Polis Ampang tahan tiga lelaki Bangladesh terlibat 15 kes pecah rumah

15 Jul 2023, 8:35 AM
Polis Ampang tahan tiga lelaki Bangladesh terlibat 15 kes pecah rumah

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Polis menahan tiga lelaki warga Bangladesh kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah seorang warga emas di Jalan Indah 3, Taman Cheras Indah di sini bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata kesemua suspek berumur lingkungan 29 hingga 31 tahun yang tidak bekerja itu ditahan di Jalan Teratai 1/3, Taman Bukit Teratai kira-kira pukul 11.05 malam Khamis lepas.

"Ketiga-tiga suspek melakukan jenayah itu pada 14 Jun lepas ketika mangsa berusia 72 tahun berada di Kota Kinabalu, Sabah dan mangsa kerugian RM5,000 setelah sejumlah barangan kemas dilarikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil penahanan ketiga-tiga suspek, polis merampas antaranya resit pajak gadai, dua motosikal, enam telefon bimbit, sarung tangan dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

Selain itu, Mohd Azam berkata ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam 15 kegiatan pecah rumah di daerah Ampang Jaya.

Ketiga-tiga suspek dengan dua daripadanya mempunyai lima rekod berkaitan kegiatan jenayah dan dadah direman hingga 19 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan pecah rumah bagi tujuan curi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azam berkata polis menahan seorang wanita warga Indonesia kerana disyaki membuat laporan polis palsu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini pada Rabu.

Katanya, hasil siasatan mendapati wanita berumur 52 tahun itu membuat laporan palsu kerana enggan berterus-terang dengan suaminya selepas menggadai barangan kemas pada 20 Jun lepas bagi membayar kepada pihak disyaki scammer atau penipu.

"Pada 22 Jun, wanita terbabit seorang tukang cuci membuat laporan polis menyatakan dia didatangi seorang lelaki dan wanita yang memperkenalkan diri sebagai polis dan memberitahu dirinya terlibat kes jenayah dan meminta wang tunai RM25,000 untuk dilepaskan," katanya.

Beliau berkata semasa ditahan, polis turut merampas satu salinan laporan polis asal serta tiga keping resit sebuah bank tempatan dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan negatif ujian air kencing.

Mohd Azam berkata wanita berkenaan direman dua hari sehingga semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384/170/182 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan pemerasan atau menyamar penjawat awam dan memalsukan keterangan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619