AGENDA

Pelatih industri di GLC, pejabat kerajaan dapat elaun RM800

14 Jul 2023, 12:13 PM
Pelatih industri di GLC, pejabat kerajaan dapat elaun RM800

PUTRAJAYA, 14 JULAI: Pelajar yang menjalani latihan industri di pejabat kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan diberi elaun perantisan minimum RM800 sebulan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap di Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di sini hari ini, Anwar yang juga menteri kewangan berkata kementeriannya telah menetapkan supaya semua syarikat GLC untuk berbuat demikian bagi meringankan beban pelajar daripada keluarga tidak berkemampuan dan miskin.

“Saya nak merayu kepada syarikat di luar yang mengambil pelatih industri. Jadi untuk permulaan, pelatih industri memang tiada bayaran, itu betul dan ini untuk pendedahan.

Tetapi ada yang mereka datang daripada keluarga miskin, malah dalam beberapa dialog saya di universiti, mereka merayu, sudah habis belajar, tiada lagi pinjaman dan bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Untuk menunjukkan teladan yang baik, Anwar berkata Kementerian Kewangan menetapkan secara dasar supaya semua syarikat GLC yang mengambil pelajar yang menjalani praktikal atau latihan industri untuk membayar elaun perantisan minimum RM800 sebulan.

“Jadi untuk kerajaan dan syarikat GLC elaun perantisan minimum RM800 sebulan untuk semua pelatih industri,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta GLC yang menyediakan 35,000 peluang pekerjaan untuk mengambil pelajar lepasan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bekerja.

“Saya minta semua GLC beri laporan berkala berapa jumlah yang diambil supaya sasaran kita untuk memperolehi 35,000 pekerjaan dapat dipenuhi,” katanya.

Anwar dalam pada itu berkata Bank Simpanan Nasional akan meluncurkan Program Geran Padanan Pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dengan peruntukan RM100 juta pada Ogos depan.

“Sejumlah peruntukan juga dikhususkan untuk menggalakkan penjaja kecil aktif dalam pemasaran digital serta melanggan aplikasi pendigitalan, perniagaan seperti sistem jualan terminal tempat jualan, perakaunan dan pengurusan inventori,” katanya.

Anwar berkata satu pengumuman mengenai pendekatan baharu untuk memastikan terdapat peningkatan produktiviti padi dan beras negara akan dibuat sewaktu kunjungannya ke Kedah esok.

“Selagi kita guna teknologi sama, pendekatan sama, maka jumlah subsidi untuk rakyat miskin akan ditanggung berpuluh tahun.

Maka akan diadakan satu pendekatan baru untuk memastikan ada peningkatan produktiviti untuk padi dan beras negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media selepas majlis libat urus itu berkata adalah menjadi harapan kerajaan agar GLC melaksanakan elaun perantis RM800 pada kadar segera.

Katanya, kadar RM800 tersebut sedikit sebanyak akan membantu pelatih untuk menampung kos pengangkutan dan penginapan, pada masa sama tidak akan memberikan impak yang besar terhadap kedudukan kewangan GLC terlibat.

"Kita harap GLC boleh laksana serta-merta tapi untuk syarikat lain seperti syarikat swasta kita tunggu pengumuman bajet (Belanjawan 2024) nanti," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619