AGENDA

Menteri: Sistem bayaran tol terbuka dilaksana pada 2025

11 Jul 2023, 1:00 AM
Menteri: Sistem bayaran tol terbuka dilaksana pada 2025

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Sistem pembayaran tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong atau 'Multi Lane Fast Flow' (MLFF) dijangka dapat dilaksanakan pada 2025, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata sistem berkenaan masih lagi dalam proses perundingan bersama syarikat konsesi lebuh raya, namun pihaknya berharap agar mendapat persetujuan lebih awal dengan syarikat konsensi yang terlibat, supaya sistem MLFF itu dapat dilaksanakan lebih cepat pada penghujung 2024.

“Pelbagai lagi perkara berkaitan perlu diperhalusi, sebab ia melibatkan syarikat konsesi yang banyak serta melibatkan dari segi perundangan, segi kawal selia, persediaan membangunkan sistem itu dan teknologi yang terlibat,” katanya dalam rancangan temu bual Naratif Khas yang bertajuk OPS: Pengurusan Trafik Efisien dan Moden di Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.

Beliau berkata sistem MLFF tersebut, akan lebih memudahkan pembayaran pengguna lebuh raya dengan menggunakan sistem tol gantri yang dilengkapi dengan kamera pengesan.

Pada 27 Mac lepas, Nanta telah mengumumkan Lebuh raya Sungai Besi (Besraya) telah terpilih sebagai lokasi bukti konsep (POC) MLFF yang pertama yang akan dilaksanakan pada penghujung Oktober 2023.

Sementara itu, beliau berkata Lebuh raya Maju Expressway (MEX) dan rangkaian lebuh raya di bawah IJM Corporation Bhd (IJM), akan memulakan sistem pembayaran tol OPS atau sistem pembayaran terbuka pada September ini, sebelum ia diperluaskan kepada 10 lagi syarikat konsesi yang terlibat.

“OPS ini dapat memberikan pilihan pembayaran (tol) kepada pengguna dengan lebih fleksibel, kerana ia boleh dibayar menggunakan kad debit, kad Visa ataupun Mastercard. Akan datang, kita (Kementerian Kerja Raya) akan mengambil kira pembayaran e-Wallet,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619