AGENDA

Dua maut, lima parah, 13 penumpang cedera kemalangan bas persiaran, kereta

10 Jul 2023, 8:39 AM
Dua maut, lima parah, 13 penumpang cedera kemalangan bas persiaran, kereta

SEREMBAN, 10 JULAI: Seramai 14 penumpang warga asing antara mangsa kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan sebuah kereta di Kilometer 285.3 Lebuhraya Utara - Selatan (Plus) arah ke Kuala Lumpur, 5.25 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai DSP Mat Ghani Lateh berkata mereka terdiri daripada empat warga Indonesia, Singapura (tiga), Kanada (dua), Filipina (tiga) serta masing-masing seorang dari China dan Sepanyol.

Katanya hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah bas persiaran milik Syarikat LA Holidays Travel & Tours Sdn Bhd membawa 20 penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan dari Singapura menuju Kuala Lumpur.

"Bas itu disyaki melanggar tiang jambatan di kanan lebuh raya sebelum berpusing ke kiri dan melanggar sebuah kereta yang berada di lorong kiri lalu terbabas masuk ke bahu kiri jalan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata akibat kemalangan itu pemandu bas iaitu lelaki berusia 33 tahun dan seorang penumpang bas wanita warga Indonesia berumur 42 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu lima penumpang dilaporkan parah manakala 13 penumpang lain cedera.

"Penumpang kereta jenis Proton Wira cedera ringan manakala pemandunya tidak mengalami kecederaan," katanya.

Mangsa yang cedera mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dekat sini manakala dua yang maut dibawa ke hospital sama bagi proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Terdahulu dilaporkan dua maut dan tujuh penumpang bas parah dalam kemalangan tersebut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619