AGENDA

Kanak-kanak lelaki dua tahun maut, rumah terbakar

9 Jul 2023, 1:13 PM
Kanak-kanak lelaki dua tahun maut, rumah terbakar

BUTTERWORTH, 9 JULAI: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai sedang tidur maut selepas bilik di rumah flat didiami bersama keluarganya terbakar dalam kebakaran di Taman Pantai Bersih, di sini hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth Mohd Nasir Idris berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.29 pagi berhubung kebakaran di rumah flat yang terletak di tingkat dua daripada empat tingkat tersebut.

"Pihak bomba terus ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan itu dan ketika tiba mendapati bilik di sebuah rumah flat berkeluasan 900 kaki persegi di situ terbakar serta api telah berjaya dipadamkan.

"Kira-kira 20 peratus bilik yang berkeluasan 100 kaki persegi itu musnah dalam kebakaran tersebut dan kami dimaklumkan terdapat seorang kanak kanak berusia dua tahun di dalam bilik berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya pemeriksaan pihak bomba dalam bilik itu menemukan kanak-kanak tersebut namun mangsa telah meninggal dunia.

Mohd Nasir berkata mayat kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Katanya punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Supt Siti Nor Salawati Saad ketika dihubungi mengesahkan kebakaran yang menyebabkan kanak-kanak lelaki tersebut meninggal dunia.

"Kejadian itu melibatkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan berdasarkan maklumat awal mangsa sedang tidur di dalam bilik berkenaan manakala ibunya keluar bekerja pada 7.30 pagi," katanya.

Beliau berkata semasa kejadian neneknya sedang mandi manakala ahli keluarga lain sedang tidur dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619