AGENDA

44,000 penduduk Gombak nikmati manfaat Skim Perubatan Madani sejak 15 Jun

9 Jul 2023, 6:43 AM
44,000 penduduk Gombak nikmati manfaat Skim Perubatan Madani sejak 15 Jun

GOMBAK, 9 JULAI: Kira-kira 44,000 penduduk di daerah ini menikmati manfaat menerusi Skim Perubatan Madani sejak dimulakan pada 15 Jun lalu.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata inisiatif rintis kerajaan bagi menampung keperluan kesihatan golongan B40 itu melibatkan 27 klinik swasta di daerah ini.

“Insya-Allah kalau dalam dua atau tiga minggu ini menunjukkan kejayaaan kita akan kembangkan ke klinik lain di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Madani Afiat yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Rakyat Batu Caves, hari ini.

Skim Perubatan Madani merupakan inisiatif rintis kerajaan bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan B40 terutama dalam mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut atau rawatan pesakit luar kes-kes akut di pengamal perubatan swasta umum (GP) yang berdaftar.

Skim itu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023 Februari lalu antaranya bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di kemudahan kesihatan kerajaan.

Rawatan pesakit luar kes-kes akut percuma yang ditawarkan merangkumi rawatan bagi demam, selesema, cirit-birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan dan pelbagai lagi dengan peruntukan sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang.

Daerah terlibat program rintis Skim Perubatan Madani ialah Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619