AGENDA

Tiada cadangan tutup sekolah agama, negeri giat perkasa pendidikan Islam

7 Jul 2023, 9:40 AM
Tiada cadangan tutup sekolah agama, negeri giat perkasa pendidikan Islam
Tiada cadangan tutup sekolah agama, negeri giat perkasa pendidikan Islam

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kerajaan Selangor tidak sesekali bercadang menutup mana-mana sekolah agama atau pusat tahfiz di negeri ini, sebaliknya berusaha memperkasa sistem pendidikannya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor memiliki sekolah agama paling banyak di Malaysia yang bilangannya kian berkembang iaitu lebih 20,000 pelajar ketika ini.

“Kita ada lebih 400 sekolah agama dan pusat tahfiz, yang terbanyak di Malaysia. Kita juga ada sekolah menengah agama yang cukup banyak termasuk sekolah swasta.

“Walaupun ada suara-suara yang mempertikai kononnya kita mahu halang dan tutup, setakat yang saya semak tiada satu pun notis tutup yang diberi,” tegas beliau.

Beliau berucap dalam majlis penyerahan program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvesyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

[caption id="attachment_591477" align="alignnone" width="796"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama sebahagian pendidik selepas penyampaian Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA pada 7 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]

Amirudin juga menambah pentadbiran negeri mahu memastikan sekolah agama dan pusat tahfiz memenuhi keperluan asas khususnya berkaitan aspek keselamatan pelajar.

“Jangan tutup sebelah mata hal keselamatan. Saya dididik dengan usul fiqh iaitu selepas jaga agama, kita perlu menjaga nyawa,” tegas beliau lagi.

Beliau menjelaskan usaha memperkasa institusi itu dibuat melalui Pendidikan Latihan Vokasional dan Teknikal (TVET) khas serta program ‘Fast Track Peperiksaan SPM’ kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Bulan lalu, tempoh pendaftaran kepada 55 sekolah agama persendirian dilanjutkan sekurang-kurangnya hingga tahun depan bagi mereka memenuhi syarat operasi khususnya isu keselamatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619