SELANGOR

200 peserta hadir majlis talaqqi ulama Pattani, kupas isu tafsir al-Quran

7 Jul 2023, 8:38 AM
200 peserta hadir majlis talaqqi ulama Pattani, kupas isu tafsir al-Quran
200 peserta hadir majlis talaqqi ulama Pattani, kupas isu tafsir al-Quran

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 7 JULAI: Lebih 200 peserta menghadiri hari terakhir kuliah tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni di Masjid Negeri di sini, hari ini.

Turut serta dalam kuliah sempena Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami itu ialah Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad.

Majlis mulai jam 9.30 pagi itu dimulakan dengan alunan zikir diikuti kuliah oleh Baba Ismail bertajuk al-Quran Muhkamat dan Mutasyabihat yang diambil dalam kitab Maqawif al-Marjan karya beliau sendiri.

Dalam kuliahnya, Baba Ismail menekankan orang yang tidak berilmu haram mentafsir al-Quran.

“Al-Quran ini ada ayat muhkamat (ayat yang jelas maksudnya) dan ada ayat mutasyabihat (ayat yang samar maknanya). Jadi hanya ulama dan mereka betul-betul ahli layak mentafsir al-Quran,” ujar beliau.

Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami merupakan kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang dianjurkan 20 Mei lalu serta dihadiri bekas Mufti Besar Mesir Profesor Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab.

Sebelum ini Baba Ismail pernah menghuraikan kitab karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam majlis prapelancaran festival turath di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar pada 1 Mei.

Festival tersebut bersempena penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin kepada bahasa Melayu mulai awal tahun ini yang digerakkan Kerajaan Negeri melalui Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Ia bertujuan menyemarak lagi minat umat Islam terhadap pemikiran al-Ghazali, ilmuan Islam pelbagai bidang yang berpengaruh ke serata dunia.

Kerajaan Negeri berhasrat mengembangkan syiar Islam menerusi penganjuran program agama ke setiap daerah dengan menampilkan tokoh-tokoh besar.

[caption id="attachment_591503" align="aligncenter" width="722"] Tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian secara membaca sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619