AGENDA

Jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah Isnin ini untuk wukuf

24 Jun 2023, 5:52 AM
Jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah Isnin ini untuk wukuf

Daripada Kamarul Irwan Alias

MAKKAH, 24 JUN: Semua 31,600 jemaah haji Malaysia akan bergerak ke Arafah, Isnin ini untuk menyertai tiga juta umat Islam seluruh dunia menjalani ibadah wukuf yang merupakan kemuncak haji pada Selasa, 9 Zulhijjah.

Mereka bergerak secara berperingkat ke Arafah yang jaraknya kira-kira 22 kilometer dari Masjidil Haram di sini, bermula 7 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia) menggunakan 21 bas disediakan bagi setiap maktab penginapan yang membawa jemaah haji dalam tiga penggiliran perjalanan.

Wukuf ialah rukun haji yang dilakukan dengan berada di padang Arafah mulai tergelincirnya matahari (waktu Zuhur) pada 9 Zulhijjah sehingga sebelum fajar pada 10 Zulhijjah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata semua jemaah haji Malaysia akan bergerak untuk mabit (bermalam) di Muzdalifah bermula 6.30 petang sebelum melontar di Mina hingga 13 Zulhijjah.

"Malaysia mendapat keutamaan daripada kerajaan Arab Saudi untuk memilih waktu melontar di ketiga-tiga jamrah … alhamdulillah, jemaah kita dapat melontar pada slot malam bermula 8 hingga 10 malam disebabkan keadaan cuaca yang lebih dingin," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata 50 peratus jemaah haji akan melakukan Nafar Awal (melontar jamrah pada dua dari tiga hari tasyrik) manakala separuh lagi Nafar Thani (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik) dan bertahalul.

Seterusnya, jemaah haji akan melakukan tawaf dan saie haji.

Syed Saleh berkata hampir 300 khemah di Arafah dan Mina tersedia buat jemaah haji negara dengan beberapa penambahbaikan dilakukan tahun ini termasuk khemah berdinding PVC dengan penyaman udara dan bekalan makanan yang keseluruhannya dibekalkan syarikat Malaysia.

Selain itu, 50 jemaah haji dipilih menyertai Program Prihatin Tetamu Ar Rahman (Peneman) yang bakal disantuni 50 petugas haji bagi membantu mereka ketika operasi Masyair.

Bagi pesakit pula, mereka akan dibawa ke Arafah menerusi program Safari Wuquf bersama petugas perubatan dengan menaiki bas khas dan ambulans.

Setelah selesai rukun dan wajib haji, jemaah akan melakukan tawaf wada' atau tawaf selamat tinggal sebelum pulang ke tanah air, dengan penerbangan pertama dijadual 5 Julai ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619