AGENDA

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri berangkat ke Tanah Suci

20 Jun 2023, 7:38 AM
Sultan Selangor, Tengku Permaisuri berangkat ke Tanah Suci

SEPANG, 20 JUN: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji.

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor menaiki pesawat khas yang berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 petang.

Antara yang turut serta mengiringi Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor ke Tanah Suci ialah Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir, Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Abdul Karim Maaseng Al-Makki dan Pengurus Tabung Haji (TH) Travel and Services Syahrimi Ilias.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan berangkat bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor.

Timbalan Mufti Selangor Prof Madya Dr Miszairi Sitiris membacakan doa memohon agar perjalanan Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Noorashikin diberkati serta permudahkan segala urusan sepanjang berada di Tanah Suci.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Noorashikin serta rombongan dijangka berangkat pulang ke tanah air pada 4 Julai ini.

Semalam, Sultan Selangor bertitah memohon rakyat mendoakan agar baginda dan Tengku Permaisuri Selangor diberi kesihatan yang baik dan dapat menunaikan fardu haji dengan sempurna serta mendapat haji yang mabrur.

Sultan Selangor memaklumkan telah menunaikan fardu haji pada 2002 dan bagi musim haji 1444H/2023, baginda akan menunaikan rukun Islam kelima itu bersama Tengku Permaisuri Selangor.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari wukuf, yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.

Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619