AGENDA

PM: SPRM perlu jalan tugas secara bebas, berkecuali

19 Jun 2023, 5:13 AM
PM: SPRM perlu jalan tugas secara bebas, berkecuali

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu sentiasa menjalankan tanggungjawab dan tugas secara bebas dan berkecuali termasuk melibatkan siasatan terhadap tokoh politik dan bekas pemimpin negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia sejajar dengan peranan SPRM yang melaksanakan tugas berlandaskan prinsip keadilan dan undang-undang.

“Orang-orang yang menganggap ini siasatan bermotif politik, harus melihat kepada fakta dan bukan sentimen politik untuk kelirukan rakyat.

“Kalau nyata dari segi siasatan ada kes yang dianggap berprofil tinggi dan mempunyai alasan cukup kukuh untuk didakwa itu tugas SPRM dan Jabatan Peguam Negara,” kata beliau pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan Senator A. Kesavadas mengenai sejauh mana SPRM serius untuk menyiasat segala perilaku rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan bekas-bekas Perdana Menteri.

Sementara itu, Anwar meminta mana-mana pihak yang mendakwa badan penyiasat termasuk SPRM bertindak atas arahan politik, tampil mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan mereka.

Beliau berkata ia memandangkan ketika ini adakalanya tindakan dan keputusan diambil SPRM dijadikan bahan politik oleh sesetengah pihak.

“Lihat pada fakta, kalau semasa memegang kuasa kita menggunakan kuasa beri kontrak pada keluarga dan kroni, memperkayakan diri, jangan dipersoalkan kenapa SPRM siasat, dan bila SPRM siasat jangan dianggap ini tohmahan politik.

“Sepatutnya kita sebagai ahli Dewan (Dewan Rakyat atau Dewan Negara) yang bertanggungjawab mengambil sikap selamatkan negara daripada rasuah berleluasa,” kata beliau ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dominic Lau Hoe Chai.

Dominic mahu tahu mekanisme diguna pakai SPRM bahawa setiap siasatan SPRM tidak dipengaruhi kuasa dan arahan bermotif politik.

Anwar berkata ketika ini kaedah siasatan SPRM cukup jelas iaitu sekiranya ada laporan dibuat, siasatan akan dijalankan segera dengan beliau sendiri meminta semua badan penguat kuasa menjalankan siasatan secara profesional dan tanpa gentar.

Katanya, beliau sendiri menjamin Kerajaan Perpaduan sentiasa akan bertindak tegas supaya penyakit barah rasuah akan dapat dihapuskan dalam negara ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619