AGENDA

Wanita hamil enam bulan ditahan hina Agong di media sosial

18 Jun 2023, 3:42 AM
Wanita hamil enam bulan ditahan hina Agong di media sosial

GEORGE TOWN, 18 JUN: Seorang wanita yang sedang hamil enam bulan ditahan bagi membantu siasatan memuat naik kandungan di media sosial berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penganugerahan pingat kepada Tan Sri Lim Kit Siang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata wanita berusia 32 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, dekat sini 13 Jun lepas.

"Pada 7 Jun 2023, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan daripada orang awam mengenai beberapa kandungan di media sosial yang berupaya menjejaskan ketenteraman awam.

"Susulan itu, pada 13 Jun 2023 pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung memuat naik kandungan di media sosial berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, selain penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, wanita itu juga dipercayai turut mengaitkan Lim sebagai pencetus rusuhan 13 Mei 1969.

Khaw berkata susulan penahanan wanita itu, polis merampas beberapa bahan bukti antaranya komputer riba, telefon bimbit dan kad sim milik wanita itu untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata wanita berkenaan kemudian dibebaskan dengan jamin polis pada hari sama kerana mendakwa sedang mengandung enam bulan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 oleh USJT Bukit Aman.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619