AGENDA

Seorang maut, dua parah bot bertembung di Pulau Perhentian

17 Jun 2023, 9:49 AM
Seorang maut, dua parah bot bertembung di Pulau Perhentian

JERTIH, 17 JUN: Seorang kru bot nelayan maut manakala dua penumpang cedera parah dalam insiden dua bot bertembung di perairan Pulau Perhentian di sini pada kira-kira 8.15 pagi tadi.

Rahmat Mat Ariffin, 43, dari Kampung Nail, Kuala Besut disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Azrol Anuar Nor berkata nahas itu membabitkan sebuah bot nelayan yang membawa tiga kru serta 10 penumpang dan sebuah bot pelancong yang dinaiki dua kru serta 10 penumpang.

"Kemalangan dikatakan berlaku ketika bot pelancong dari Pasir Panjang di Pulau Perhentian Kecil (yang dalam perjalanan) ke jeti sebuah pusat peranginan di Pulau Perhentian Besar melanggar bot nelayan yang menjalankan aktiviti sewaan mencandat sotong (yang dalam perjalanan) ke jeti kampung Pulau Perhentian.

"Akibat pelanggaran tersebut, bot nelayan bocor dan tenggelam manakala seorang kru meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya, dua penumpang cedera parah dan seorang cedera ringan," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azrol berkata bot pelancong jenis gentian kaca hanya mengalami kerosakan kecil manakala semua kru serta penumpang termasuk tiga warga asing dan dua kanak-kanak tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian oleh bot orang awam sebelum dihantar ke Hospital Besut menggunakan bot Pasukan Polis Marin dan bot ambulans Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

"Kejadian ini telah dirujuk kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

"Polis menasihati semua pengusaha dan pemandu bot agar mematuhi peraturan yang ditetapkan semasa berada di perairan seperti memastikan bot dalam keadaan baik serta sentiasa mematuhi peraturan lain yang ditetapkan termasuk memastikan semua kru dan penumpang memakai jaket keselamatan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619