ad
ADN

DUN Dusun Tua anjur gotong-royong korban, agihan daging pada 1 Julai

17 Jun 2023, 6:34 AM
DUN Dusun Tua anjur gotong-royong korban, agihan daging pada 1 Julai

Oleh AZIAN AZIZ

HULU LANGAT, 17 JUN: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua menganjurkan program gotong-royong korban sempena Hari Raya Aidiladha membabitkan empat ekor lembu dan 10 ekor kambing pada 1 Julai ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Edry Faizal Eddy Yusof berkata program tersebut melibatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan penduduk di 18 kampung Melayu tradisi di DUN Dusun Tua.

"Semua haiwan korban ini diberikan oleh Kerajaan Negeri. Kita akan lapah daging korban dan kemudian agihkan sama rata kepada penduduk kampung Melayu yang terlibat," katanya selepas merasmikan program Operasi Khidmat Masyarakat Mahasiswa Selangor (Opkims) di Tabika kemas Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kampung Pangsun di sini.

Tahun ini sebanyak RM6 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk sumbangan ibadah korban melibatkan 700 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing.

Daripada keseluruhan haiwan korban tersebut, sebanyak empat ekor lembu dan 10 ekor kambing diserahkan kepada 56 ADN seluruh Selangor.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyerahkan baucar korban kepada semua ADN dalam majlis sumbangan korban di Pusat Konvensyen MBSA di Shah Alam pada 3 Jun lalu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.