AGENDA

TH wujud tabung mudahkan petugas berinfak kepada jemaah haji

16 Jun 2023, 5:30 AM
TH wujud tabung mudahkan petugas berinfak kepada jemaah haji

MAKKAH, 16 JUN: Tabung Haji (TH) melancarkan Tabung Nikmatul Khair (nikmat kebaikan) untuk membolehkan petugas haji musim 1444 Hijrah menyalurkan sumbangan kepada jemaah haji Malaysia.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata inisiatif itu bagi memberi peluang kepada petugas melakukan infak sebagai tanda kesyukuran kerana dapat hadir ke Tanah Suci bersama jemaah haji negara.

"Kita nak bagi balik apa yang dah kita terima dari segi peluang datang ke sini, kita ada sedikit bayaran elaun. Rezeki yang kita dapat ini nak kongsi bersama, insya-Allah berlipat kali ganda pahala," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan petugas dan pelancaran tabung berkenaan di sini.

Beliau berkata pihaknya bercadang mengagihkan sarapan pagi kepada jemaah haji negara seperti dilakukan tahun lepas, atau membantu mereka yang memerlukan dari segi membayar upah melontar di Jamrah di Mina, bergantung kepada hasil kutipan tabung berkenaan.

Katanya, inisiatif itu dimulakan pada 2018 dengan agihan makanan kepada jemaah luar negara dibuat untuk dua tahun berturut-turut, hasil sumbangan wang tunai yang dikumpul.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Syed Saleh berkata berdasarkan program ziarahnya ke penginapan jemaah haji, rata-rata mereka berpuas hati dengan perjalanan haji setakat ini, sekali gus mencerminkan perancangan yang teratur TH dan komitmen 670 petugas haji kali ini.

"Kita impikan tahun ini menjadi tahun terbaik perkhidmatan kepada jemaah haji yang pernah kita berikan berbanding tahun-tahun sebelum ini," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619