AGENDA

Lelaki kasari pemandu wanita dipenjara lagi kerana tampar pelayan restoran

16 Jun 2023, 3:38 AM
Lelaki kasari pemandu wanita dipenjara lagi kerana tampar pelayan restoran

CAMERON HIGHLANDS, 16 JUN: Seorang lelaki yang sebelum ini dipenjara tujuh hari kerana mengasari seorang pemandu wanita di Lata Iskandar di sini, dikenakan hukuman penjara sembilan hari pula oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas dua pertuduhan menampar pelayan restoran.

Majistret Qasiratuljannah Usmani Othman turut menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, dan dipenjara sembilan hari lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan hari bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh, namun ia berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan iaitu semalam.

Penyelia mesin itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas V Dennis Pillai, 23, di Restoran Glory 78 Steamboat Snack Corner (Bamboo Biryani) Tanah Rata di sini, pada kira-kira 4.20 petang, 4 Jun.

Mohammad Zaim Faiz turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas warga asing, Samir Das di masa dan tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S Punitha memohon Mohammad Zaim Faiz dikenakan hukuman setimpal bagi memberi ganjaran, selain kes telah menjadi tular.

Lelaki yang tidak diwakili peguam itu, bagaimanapun dalam keadaan sebak merayu supaya hanya dikenakan hukuman denda minimum, kerana isterinya akan bersalin pada hujung bulan ini selain mempunyai seorang anak kecil.

Beliau turut mengakui telah insaf dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan.

Mengikut fakta kes, Mohammad Zaim Faiz memaki hamun dengan kata-kata kesat memarahi kedua-dua mangsa, kerana makanan yang dipesan lambat sampai dan menampar Samir Das sebanyak dua kali di pipi kiri dan menampar kedua-dua pipi Dennis Pilai sebanyak empat kali.

Pada 9 Jun, Mahkamah Majistret Tapah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari ke atas lelaki itu yang mengasari seorang pemandu wanita dalam insiden di Lata Iskandar, yang tular baru-baru ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619