AGENDA

Tahanan lolos dari lokap balai ditahan semula, seorang lagi dicari

15 Jun 2023, 12:50 PM
Tahanan lolos dari lokap balai ditahan semula, seorang lagi dicari

KUCHING, 15 JUN: Seorang daripada dua suspek warga asing yang melarikan diri dari lokap Balai Polis Tapah dekat sini Isnin lalu berjaya ditahan semula di sebuah kawasan kolam pancing di Jalan Kuching-Serian, 9 pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata suspek berusia 21 tahun itu berjaya ditahan hasil makluman awam yang ternampak suspek di kawasan terbabit.

"Bertindak atas maklumat itu, polis dari balai Padawan ke tempat kejadian dan semasa pemeriksaan mendapati suspek adalah seorang daripada OKT (orang kena tuduh) yang melarikan diri dari Balai Polis Tapah.

"Semasa tangkapan dijalankan, tidak ada apa-apa pergelutan dan suspek didapati dalam keadaan keletihan, terdapat kesan calar di bahagian badan dan kaki dipercayai telah bermalam di kawasan belukar sekitar kolam pancing itu," katanya pada sidang media di Balai Polis Tapah di sini hari ini.

Mohd Azman berkata orang ramai diseru untuk terus memberikan maklumat bagi mengesan seorang lagi suspek yang juga warga Indonesia berusia 31 tahun.

"Setakat hari ini, polis menambah kekuatan 156 anggota dengan melibatkan Pasukan Gerakan Am, Unit Dron PGU (Pasukan Gerakan Udara), K9 (unit anjing pengesan) dan bomba," katanya.

Kedua-dua suspek yang disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen itu telah ditangkap 7 Jun lalu dan ditahan di Balai Polis Tapah, namun berjaya melarikan diri sekitar 1 tengah hari, Isnin lepas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619