AGENSI

Insentif Haji Muassasah, MBI minta pejabat DUN segera hantar permohonan

15 Jun 2023, 5:51 AM
Insentif Haji Muassasah, MBI minta pejabat DUN segera hantar permohonan

SHAH ALAM, 15 JUN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI meminta pihak pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) menghantar segera permohonan insentif Haji Muassasah kepada pihaknya.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata ia berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang semakin hampir untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

"Setakat ini kita sudah terima hampir 2,000 permohonan. Kebanyakan pejabat DUN ada yang belum hantar borang itu kepada kami.

"Kita minta pihak pejabat DUN segera hantar borang kepada kami memandangkan pembubaran DUN semakin hampir," katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Bebas Denggi peringkat Hospital Shah Alam di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Azri menjelaskan MBI akan akan mengumumkan kaedah permohonan lain kelak sekiranya pembubaran DUN berlaku dalam masa terdekat.

"Sebab sekarang nak mohon perlu melalui pejabat DUN dan apabila sudah bubar nanti kita akan umumkan permohonan menerusi kaedah lain bagi memudahkan orang ramai. Tarikh tutup kita lanjutkan sehingga 25 Ogos," katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 3,000 jemaah menerima insentif RM500 haji muassasah khusus untuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif melalui MBI turut mengagihkan kit syifa seperti ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen dan pelembap bibir.

Antara syarat permohonan ialah warganegara Malaysia yang beralamat di Selangor atau telah mendaftar haji di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji di Selangor.

Pemohon juga perlu mendapat pengesahan penawaran menunaikan haji muassasah tahun ini dari Lembaga Tabung Haji negeri Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619