AGENDA

Selangor negeri tertinggi miliki kemudahan pengecas kenderaan elektrik

13 Jun 2023, 10:56 AM
Selangor negeri tertinggi miliki kemudahan pengecas kenderaan elektrik

CYBERJAYA, 13 JUN: Malaysia masih kekurangan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV), dengan anggaran kini hanya ada 1,000 stesen pengecasan EV dalam negara, angka yang jauh berbanding sasaran 10,000 stesen menjelang 2025, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

“EV masih baharu kepada pasaran dan negara kita. Ekosistem (EV) belum lengkap, kerana stesen pengecasan tak banyak, jadi pengeluar keberatan untuk masuk pasaran,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Alibaba Cloud dan Agmo Holdings Bhd di sini hari ini.

Kerjasama antara kedua-dua platform teknologi digital itu bertujuan memudahkan pengguna EV dalam mengenal pasti stesen pengecasan dan kuasa pengecasan bersesuaian, menerusi aplikasi Agmo EV Superapp di Android dan iOS.

Aplikasi berkenaan lengkap dengan sistem integrasi bersepadu, menerusi ciri pembayaran tanpa tunai, kemudahan navigasi dan semakan kadar cas sebelum mengecas EV.

Agmo merupakan pakar penyelesaian digital tempatan dan menawarkan perkhidmatan seperti e-undian berasaskan rantai blok dan transaksi berkaitan e-dagang, manakala Alibaba Cloud adalah penyedia perkhidmatan awam terkemuka di China.

Berdasarkan statistik Agmo, negeri tertinggi mempunyai stesen pengecasan adalah Selangor, diikuti Kuala Lumpur dan Johor.

Chang berkata kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sedang giat melaksanakan pelbagai program bagi membangunkan industri EV tempatan, antaranya menerusi kerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). - BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619