AGENDA

Mayat bayi tanpa pakaian ditemukan terapung di laut

11 Jun 2023, 2:26 AM
Mayat bayi tanpa pakaian ditemukan terapung di laut

KOTA KINABALU, 11 JUN: Mayat bayi masih belum dikenal pasti jantina ditemukan terapung di laut di perkampungan atas air, Kampung Tanjung Aru Lama, di sini semalam.

Bayi malang itu ditemukan 6.30 petang oleh penduduk kampung yang melalui jambatan kayu di kampung berkenaan sebelum menghubungi polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Kalsom Idris berkata, sebaik menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi terbabit, sepasukan polis digerakkan ke lokasi untuk siasatan.

Katanya, bayi itu ditemui terapung tanpa pakaian di laut dekat jambatan di perkampungan atas air berkenaan.

"Siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai baru dilahirkan namun setakat ini belum ada apa-apa maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

"Bayi terbabit juga disyaki dibuang ke laut selepas dilahirkan," katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.

Kalsom berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

"Setakat ini jantina bayi belum dapat dipastikan dan akan diketahui selepas bedah siasat," katanya.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619