AGENDA

Penyerang skuad Harimau Malaya digugur atas faktor kesihatan untuk aksi persahabatan

11 Jun 2023, 12:38 AM
Penyerang skuad Harimau Malaya digugur atas faktor kesihatan untuk aksi persahabatan

KUALA NERUS, 11 JUN: Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon terpaksa melepaskan penyerang, Haqimi Azim Rosli disebabkan masalah kesihatan dialami pemain Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata pihaknya memantau perkembangan pemain muda berusia 20 tahun itu namun tiada tanda positif dia dapat hadir untuk menjalani kem latihan bersama rakan pasukan.

Beliau berkata selain Haqimi Azim, 26 pemain yang terpilih dalam senarai skuad Harimau Malaya berada dalam keadaan baik dan sudah tiba untuk latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) semalam.

"Sehingga malam semalam (kelmarin) kami memantau Haqimi, namun tidak nampak peningkatan.

“Jadi saya fikir atas sebab rawatan perubatan dia digugurkan daripada pasukan. Setakat ini, semua orang (pemain lain) dalam keadaan baik,” katanya pada sidang media sebelum sesi latihan hari pertama kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di SSMZA semalam.

Bagi panggilan kem latihan pusat Jun ini, Pan Gon mengekalkan 17 daripada 27 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Johor Bahru, Johor Mac lalu.

Seramai 10 pemain baharu dipanggil kali ini termasuk lima pemain dari skuad Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 iaitu Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim, Azam Azmi Murad dan Lee Tuck; tiga pemain yang kembali dipanggil iaitu Natxo Insa, Junior Eldstal dan Shahrel Fikri Md Fauzi serta penjaga gol, Azri Ab Ghani dan muka baharu, Syahir Bashah.

Dua aksi perlawanan persahabatan menentang pasukan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Kuala Terengganu bakal menjadi medan ujian buat skuad negara sebelum ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619