AGENDA

Rakyat Malaysia yang hilang di Makkah disahkan sudah meninggal dunia

10 Jun 2023, 5:46 AM
Rakyat Malaysia yang hilang di Makkah disahkan sudah meninggal dunia

BATU PAHAT, 10 JUN: Jemaah umrah Musthafa Kamal Abdullah, yang dilaporkan hilang di Makkah pada Disember lalu, disahkan telah meninggal dunia.

Anak sulungnya, Muhammad Nabil, 26, berkata beliau sekeluarga reda dengan pemergian bapanya itu setelah menerima pengesahan mengenainya daripada Kedutaan Malaysia, 11.40 pagi semalam.

Beliau berkata solat jenazah ghaib ke atas jenazah bapanya yang merupakan guru sekolah itu, diadakan di Masjid Jamek Sri Gading selepas solat Jumaat.

“Saya juga diberitahu oleh pihak kedutaan di sana semalam, yang ayah sebenarnya telah meninggal dunia pada 13 Februari lepas, selepas segala pengesahan biometrik serta pengurusan dan pengebumiannya selesai.

“Kini saya bersama ibu, adik beradik dan ahli keluarga lain hanya menunggu dokumen pengesahan kematian ayah, saya agak terkilan kerana baru sahaja diberitahu semalam susulan proses pengesahan kematian daripada pihak Arab Saudi yang mengambil masa lama,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Sri Gading, di sini, hari ini.

Muhammad Nabil, yang bertugas di Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat, itu memaklumkan Kedutaan Malaysia di sana juga baru mengetahui mengenai kematian bapanya dua hari sebelum memberitahu keluarga.

Selain menunggu dokumen pengesahan kematian, mereka sekeluarga juga mahu mengetahui punca sebenar kematian serta lokasi arwah menghembuskan nafas terakhir.

Beliau juga berhasrat membawa ibu dan empat adiknya untuk menziarahi pusara arwah bapanya di Makkah dalam masa terdekat.

“Saya menganggap kejadian ini ada hikmah di sebaliknya dan bersyukur ayah meninggal dalam keadaan baik (berihram) serta dalam bulan baik (Rejab),” katanya.

Musthafa Kamal, 49, yang menunaikan umrah bersama anaknya, Muaz, 17, sepatutnya pulang pada 18 Disember lalu, dilaporkan hilang pada 12 Disember.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619