AGENSI

46 individu sertai kursus tauliah penyembelih anjuran Jais

9 Jun 2023, 3:45 AM
46 individu sertai kursus tauliah penyembelih anjuran Jais

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 9 JUN: Seramai 46 penyembelih korban di masjid dan surau menyertai Kursus Tauliah Penyembelih (Korban) anjuran Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini.

Agensi itu memaklumkan kursus dilaksana mengikut zon dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Kursus ini diadakan mengikut zon iaitu zon 1, 2 dan 3. Zon 1 ialah Paid Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Paid Sabak Bernam dipilih sebagai tuan rumah dan lokasi kursus bagi zon 1.

“Menerusi kursus ini peserta diberi pendedahan berkaitan ilmu sembelihan korban menurut hukum syarak dan juga perspektif sains,” katanya di Facebook.

Jais memaklumkan kursus itu diadakan bagi membantu peserta memahirkan diri dengan kaedah terbaik pemilihan haiwan korban selain memahami hukum sembelihan mengikut perspektif Islam terutama adab dan syarat sembelihan korban.

“Kursus ini juga bertujuan melahirkan pengendali ibadah korban yang berkemahiran dan berilmu pengetahuan di masjid dan surau.

“Peserta menduduki ujian bertulis dan lisan. Peserta yang berjaya diberikan sijil penghargaan dan kad tauliah penyembelih korban,” katanya.

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan 300 masjid dan surau terpilih di Selangor menerima sumbangan ibadah korban daripada Kerajaan Negeri sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Pada 7 Mei lalu, EXCO pemodenan pertanian mengumumkan Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi sumbangan ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini.

Ir Izham Hashim berkata peruntukan tahun ini bertambah berbanding tahun lalu berikutan peningkatan harga lembu daripada RM5,400 kepada RM6,000.

Selain itu, pertambahan jumlah lembu korban daripada 660 ekor kepada 700 dan jumlah kambing kekal 1,000 ekor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619