AGENDA

Menteri: Sukan tempur diklasifikasi aktiviti sukan sekolah, cungkil bakat akar umbi

7 Jun 2023, 5:26 AM
Menteri: Sukan tempur diklasifikasi aktiviti sukan sekolah,  cungkil bakat akar umbi

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Mengklasifikasikan sukan tempur sebagai aktiviti sukan berbanding aktiviti badan beruniform di sekolah sebelum ini, antara tujuh perkara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Sukan hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata klasifikasi itu bagi memastikan atlet sukan tempur di sekolah mendapat pengiktirafan yang setara dengan sukan lain selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

“Sukan tempur yang kita maksudkan adalah seperti taekwondo, wusyu. Kita hendak penyelarasan berdasarkan Akta Pembangunan Sukan, aktiviti sekarang sudah meningkat kepada 103 jenis sukan. Kita hendak koordinasi di peringkat sekolah juga, semua ini dinamakan sebagai sukan.

“Bukan sahaja sukan tempur, saya bagi contoh e-sukan, kategori kita sudah ada, definisi sukan ikut akta dan kita hendak pastikan penyelarasan berlaku di peringkat sekolah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa itu di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Mesyuarat HLC susulan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) berkenaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Hannah berkata antara ketetapan yang telah dipersetujui oleh HLC ialah menggalakkan pewujudan kelab renang dan olahraga di sekolah-sekolah berpotensi bagi menarik minat pelajar menceburi bidang sukan berkenaan di samping mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi.

Ketetapan ketiga ialah mewujudkan dan menggiatkan pertandingan kompetitif tahunan peringkat sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) merentasi pelbagai sektor pendidikan termasuk sekolah swasta, tahfiz dan lain-lain melalui Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Beliau turut memaklumkan Biasiswa Sukan Persekutuan KBS bernilai RM2 juta kini diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menguruskan skop, terma dan peruntukan biasiswa itu.

“Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) akan mengaktifkan semula pelaksanaan program promosi dan aktiviti Rakan Aktif (teras Rakan Muda) di sekolah.

“Keenam ialah peranan Institut Sukan Negara yang akan membantu dalam memperluas, menyelaras serta menganjurkan program pendidikan dan pelesenan kejurulatihan kepada guru dan jurulatih di bawah KPM dan KPT,” katanya.

Ketetapan terakhir yang dipersetujui ialah permohonan Dana Sukan Komuniti sebanyak RM20 juta yang dikendalikan KBS akan diperluas kepada kelab dan persatuan di bawah KPM dan KPT untuk melaksanakan agenda nasional sihat di peringkat komuniti.

Hannah berkata kesemua tujuh perkara itu dipersetujui sebagai langkah pertama untuk membawa pembaharuan dalam mencungkil bakat-bakat baharu sebagai usaha memperbaiki prestasi sukan di negara ini terutamanya dalam sukan tempur, olahraga dan renang seperti yang diputuskan JKPS sebelum ini.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619