AGENDA

Wujudkan formula khas perbelanjaan negara ketika darurat, bencana

6 Jun 2023, 1:09 PM
Wujudkan formula khas perbelanjaan negara ketika darurat, bencana

SHAH ALAM, 6 JUN: Ahli Parlimen Gombak mencadangkan formula khas perbelanjaan negara ketika darurat atau bencana diwujudkan bagi memastikan berlaku semak dan imbang dalam setiap urusan.

Mengambil pengalaman negara yang darurat ketika berdepan pandemik Covid-19, Dato' Seri Amirudin Shari berkata semak dan imbang perbelanjaan negara dapat mengelak berlakunya ketirisan.

"Mungkin kita perlukan satu formula khas ketika darurat atau langkah-langkah bencana yang mana perbelanjaan segera perlu dibuat tapi semak dan imbang, dokumentasinya itu perlu ditetapkan dan tepat.

"Perlu disemak supaya di masa depan kalau ada 'kecurangan' ketika mengambil kesempatan daripada bencana yang berlaku satu perkara yang sangat malang. Semak imbang tertentu harus kita teruskan supaya tidak terlepas," katanya ketika membahaskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 di Dewan Rakyat hari ini.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor menambah pengurusan dan tatakelola perbelanjaan perlu dilihat secara menyeluruh untuk mengelakkan berlaku ketirisan, kehilangan kewangan dan aktiviti mencurigakan.

"Semua sedia maklum LKAN bukanlah untuk menghukum, urusannya adalah untuk membetulkan urus tadbir dan tatakelola, melihat (secara) menyeluruh bagaimana menangani masalah yang sama.

"Dengan membahaskan hari ini kita wajar meningkatkan perbahasan kita bukan hanya soal jawatankuasa atau teknikaliti tetapi persoalan dasar apa yang perlu kira gubah supaya (perkara yang ditegur dalam LKAN) tidak berulang kembali," katanya.

LKAN buat pertama kalinya dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini antara lain memperakui bahawa kerajaan memandang serius isu dibangkit dalam laporan itu selain Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri terlibat meneliti isu dibangkitkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) ketika membentangkan usul membahaskan LKAN 2021 Siri 2 hari ini berkata segala isu membabitkan ketirisan, ketidakpatuhan kepada peraturan, tidak mematuhi syarat dan kelemahan dalam perancangan perlu diteliti.

Dato’ Seri Azalina Othman Said berkata semua pihak perlu mengambil pengajaran supaya tidak berulang dalam pelaksanaan aktiviti, program atau projek di masa hadapan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619