AGENDA

Lebih 80 peratus agihan kerusi selesai, utamakan faktor menang

4 Jun 2023, 1:16 PM
Lebih 80 peratus agihan kerusi selesai, utamakan faktor menang

SHAH ALAM, 4 JUN: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor sudah selesai berunding dan menyepakati agihan 49 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) itu tidak lama lagi.

Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga Menteri Besar Selangor, berkata agihan tujuh lagi kerusi masih dalam rundingan dan menjangkakan proses itu dapat diselesaikan selewat-lewatnya menjelang pembubaran DUN.

“Maknanya saya boleh cakap sudah 83 peratus (agihan kerusi DUN) selesai pada tahap ini. Ia perkembangan besar selepas hanya dua kali pertemuan di peringkat negeri.

“Jadi (perbincangan) yang seterusnya akan dilaksanakan dalam minggu depan dan saya percaya kita akan mendapat kata putus,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2021-2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa BN Selangor meminta PH negeri itu menambah bilangan kerusi DUN daripada 10 kepada 17 untuk ditandingi gabungan politik tersebut pada PRN ini.

Amirudin juga berkata setakat ini, perbincangan antara PH dan BN Selangor berhubung agihan kerusi masih berjalan dan keputusan rundingan akan dimuktamad oleh kepimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

“Proses memuktamadkan (agihan kerusi) perlu dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang juga Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

“Jadi perkara ini dalam perbincangan. Tidak ada unsur lebih ataupun kurang tetapi sepatutnya semua perlu melihat kepada kaedah kemenangan berbanding kuota dan sebagainya,” katanya.

Beliau sebelum ini memaklumkan bahawa DUN Selangor akan terbubar secara automatik pada 25 Jun depan sekiranya tiada permohonan pembubaran dibuat.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619