AGENDA

Jemaah haji diingat jaga disiplin, nama baik negara di tanah suci

1 Jun 2023, 8:52 AM
Jemaah haji diingat jaga disiplin, nama baik negara di tanah suci

SEPANG, 1 JUN: Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya sentiasa berdisiplin dan mengekalkan nama baik negara ketika berada di tanah suci bagi menunaikan rukun Islam kelima itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

“Orang Melayu Islam terutamanya memang terkenal dengan disiplin, atas dasar tersebut saya nasihatkan tuan puan untuk kekalkan disiplin, kekalkan nama baik Malaysia ketika di tanah suci agar tidak menjejaskan imej negara dan hubungan baik negara dengan Arab Saudi,” katanya ketika berucap pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Musim Haji 1444 Hijrah di sini hari ini.

Beliau kemudiannya bersalam dengan sebahagian daripada 356 bakal jemaah haji yang akan berlepas ke Madinah menerusi penerbangan SV5669 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.35 petang ini.

Mohd Na'im turut mengingatkan jemaah haji supaya mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi dan mengikuti arahan Tabung Haji serta fokus kepada ibadat untuk memperoleh haji mabrur.

Beliau turut menekankan kepentingan bertoleransi dan mengamalkan sifat sabar sesama jemaah haji yang terdiri daripada pelbagai bangsa, adat resam dan warna kulit serta tidak mensia-siakan peluang beribadah di tanah suci.

Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula pada 21 Mei dan penerbangan terakhir adalah pada 21 Jun depan, manakala jemaah haji akan beransur pulang ke tanah air bermula 6 Julai dan penerbangan pulang terakhir adalah pada 2 Ogos 2023.

Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia yang membabitkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines pada tahun ini berbanding 48 bagi 2022.

Hari Wuquf iaitu 9 Zulhijah tahun ini dijangka jatuh pada Selasa iaitu 27 Jun.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619