AGENDA

Ganti paip usang, sasar kadar air tidak terhasil 25 peratus pada 2025

30 Mei 2023, 11:30 AM
Ganti paip usang, sasar kadar air tidak terhasil 25 peratus pada 2025

KUALA LANGAT, 30 MEI: Kerajaan Negeri menyasar untuk menurunkan kadar air tidak terhasil (NRW) kepada 25 peratus menjelang 2025, selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Dato' Menteri Besar menjelaskan sasaran itu juga selari usaha pentadbiran negeri yang giat menggantikan paip usang selain pelaksanaan projek pembinaan loji rawatan air.

Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, NRW di Selangor mencecah 27.8 peratus setakat ini, turun 8.2 peratus berbanding ketika mula mengambil alih pengurusan air pada 2016.

"Selangor antara negeri berjaya mencapai NRW bawah 30 peratus hasil penggantian paip. Kita akan ganti semua (paip) berperingkat, namun ada perlu segera seperti di Bukit Cherakah baru-baru ini.

"Selaras dengan RS-1, kita sasar kadar NRW mencapai 25 peratus dan ia memang dalam jadual Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd," katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan Selangor mempunyai 30,000km paip, dengan 6,000km kritikal dan perlu diganti segera, namun perlu dibuat berfasa berikutan membabitkan kos tinggi.

"Setiap tahun kita ganti 150km paip. Ia boleh dilakukan secara keseluruhan tetapi ada pertimbangan ekonomi, justeru kita susun dengan pembinaan loji rawatan air dahulu.

"Setelah siap (semuanya), kita fokus pula penggantian paip yang lama atau bocor," katanya lagi.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619