AGENDA

Mais saran terus rayuan mahkamah isu kalimah Allah

17 Mei 2023, 7:03 AM
Mais saran terus rayuan mahkamah isu kalimah Allah

SHAH ALAM, 17 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyeru kerajaan persekutuan agar meneruskan rayuan isu penggunaan kalimah Allah agar keputusan itu menjadi rujukan lebih muktamad.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh penganut bukan Islam seperti termaktub dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

"Mais berpandangan bahawa demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah ini wajar diteruskan bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi di negara ini memutuskan isu ini secara muktamad yang boleh menjadi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam iisu penggunaan kalimah Allah," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, perdana menteri menegaskan Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya hari ini memutuskan untuk mengekalkan ketetapan dalam enakmen negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung nama Allah.

"Jemaah Menteri menegaskan bahawa Kerajaan menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri- negeri dan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan

kalimah Allah," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan.

Sementara itu, Kerajaan Negeri menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam seperti termaktub dalam enakmen.

Pendirian ini selaras keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2014 dan fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 berkaitan perkara sama, kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Kerajaan Negeri menegaskan hak dan enakmen sedia ada khususnya Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 akan terus dipertahankan.

"(Pendirian) ini bermaksud perkembangan ini tidak akan menjejaskan atau mengancam pendirian Kerajaan Negeri berhubung penggunaan kalimah Allah," katanya.

Amirudin turut menegaskan Kerajaan Negeri melindungi kepercayaan bahawa agama harus dihormati dan tidak menggugat keharmonian yang telah dibina dan menjadi asas kepada Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619