AGENDA

Badminton Piala Sudirman: Malaysia atasi India 5-0, layak ke suku akhir

15 Mei 2023, 11:00 PM
Badminton Piala Sudirman: Malaysia atasi India 5-0, layak ke suku akhir

KUALA LUMPUR,16 MEI: Skuad badminton negara melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China selepas melakar kemenangan bergaya 5-0 ke atas India dalam aksi kedua Kumpulan C, hari ini.

Berbekalkan misi wajib menang bagi melangkah jauh dalam saingan, beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai meniup semangat juang pasukan apabila menyumbang mata pertama dengan menewaskan gandingan Dhruv Kapila-Ashwini Ponnappa 21-16, 21-17.

Momentum tersebut diteruskan perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia yang mudah menewaskan Srikanth Kidambi 21-16, 21-11 dalam tempoh 36 minit sekali gus menyumbang mata kedua buat kem badminton negara.

Pujian juga harus diberikan kepada perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei yang melakar kemenangan sulung sepanjang lima pertemuan ke atas pemain ranking ke-12 dunia, Pusarla V Sindhu dalam pertembungan tiga set 14-21, 21-10 dan 22-20.

Skuad negara tanpa menoleh belakang terus cemerlang mengutip mata keempat selepas beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengatasi Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-18 dan 21-19.

Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M.Thinaah menceriakan kem negara selepas melengkapkan kutipan mata kelima pasukan apabila menewaskan Treesa Jolly-Gayatri Pulella 21-15 dan 21-13.

Keputusan dilakar pada saingan hari ini, meletakkan skuad negara berada di kedudukan teratas Kumpulan C diikuti Taiwan di kedudukan kedua, India ketiga dan Australia keempat.

Terdahulu, Taiwan turut mengesahkan slot ke suku akhir selepas menewaskan Australia 5-0 dalam satu lagi aksi kedua Kumpulan C.

Berdasarkan format kejohanan, hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Sementara itu, Shevon ketika mengulas mengenai persembahannya bersama Soon Huat berkata beliau sememangnya gembira selepas mampu menyumbang mata pertama buat negara sekali gus menyemarakkan lagi semangat pasukan untuk terus mendominasi saingan.

"Cukup gembira dapat hadapi tekanan dan perlawanan tadi cukup penting untuk tiup semangat pasukan," katanya.

Skuad negara dijadualkan bertemu Taiwan bagi aksi pelengkap Kumpulan C pada Rabu ini (17 Mei).

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619