AGENDA

PM pesan hargai jasa ibu, jaga dengan penuh kasih sayang

14 Mei 2023, 1:04 PM
PM pesan hargai jasa ibu, jaga dengan penuh kasih sayang

KUALA LUMPUR, 14 MEI: “Bagi kita yang masih punyai ibu, jagalah mereka dengan penuh kasih sayang,” demikian seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena memperingati sambutan Hari Ibu, hari ini.

Anwar ketika menyampaikan amanat pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka mengambil kesempatan itu mengajak rakyat supaya sentiasa menghargai pengorbanan serta jasa yang dicurahkan insan bergelar ibu.

“Sumbangan, latihan, pendedahan, menjadi tempat mengadu dan kasih mereka itu sukar diganti. Yang ada isteri yang juga ibu kepada anak-anak, tunjuklah kasih sayang kepada mereka.

"Yang telah meninggalkan kita, pastikan kita sentiasa mendoakan mereka dan semoga Allah memberikan keampunan dan kasih sayang kepada mereka,” kata Perdana Menteri.

Anwar juga sempat menyanyikan bait-bait lagu seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee, berjudul “Sungguh Malangnya Nasibku” yang mengisahkan kehidupan insan tanpa sosok bergelar ibu dan ayah.

Beliau turut mengaitkan situasi lagu itu dengan kisah pemergian ibunya ketika beliau menjalani hukuman di penjara.

Anwar berkata: “Lagu P.Ramlee berbunyi, ‘...tidak bertempat nak mengadu, alam keliling membisu, kalau ada ayah dan ibu,Tak kan begini nasib ku….’” .

“Kalaupun ada sekali saya menangis ialah ketika saya puluhan tahun dalam penjara, ibu saya meninggal dunia dan saya meringkuk di dalam penjara,” katanya.

Sambutan Hari Ibu di Malaysia disambut pada 14 Mei setiap tahun.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619