AGENDA

JPJ ke arah pendigitalan penuh pastikan khidmat lebih berkesan

14 Mei 2023, 7:13 AM
JPJ ke arah pendigitalan penuh pastikan khidmat lebih berkesan

SEREMBAN, 14 MEI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhasrat melaksanakan penyampaian perkhidmatan secara pendigitalan penuh pada masa akan datang bagi memastikan kualiti penyampaian agensi itu kepada masyarakat berjalan lancar dan berkesan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata konsep pendigitalan itu telahpun dimulakan menerusi Pelan Strategik Pendigitalan JPJ 2021-2025 dengan pelbagai inisiatif merangkumi pelan infrastruktur teknologi maklumat, tadbir urus dan kompetensi.

“Memang kita harap akan ada pendigitalan penuh, tetapi ia akan mengambil masa sebab ada banyak sistem yang perlu diintegrasikan. Sekarang 2023 kita telah pun ada beberapa inisiatif seperti Pendigitalan Lesen Kenderaan Motor (eLKM) dan Lesen Memandu Malaysia (eLMM) selaras pemacuan digitalisasi itu.

“JPJ eBid lebih awal kita buat sejak 2019 dan dalam masa dua tahun yang akan datang ini, banyak lagi inisiatif pendigitalan yang akan dilaksanakan oleh JPJ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-77 bertemakan ‘Digitalisasi Kebitaraan JPJ’ yang diadakan selama tiga hari sejak Jumaat di sini.

Beliau berkata konsep pendigitalan itu turut diaplikasikan ke dalam strategi penguatkuasaan yang lebih holistik antaranya menggunakan dron untuk mengesan pesalah yang melanggar peraturan lalu lintas termasuk ketika Ops Hari Raya Aidilfitri lepas.

Jelasnya, penggunaan kamera aksi pengawasan (EAC) dan sistem Peranti Penguatkuasaan Pengurusan Pintar (SmED) yang memfokuskan kepada Operasi Tanpa Sentuh JPJ (Camera Go-Pro) serta teknologi sistem High Speed Weigh-in-Motion (Hi-WiM) juga terus dipergiat untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan JPJ.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Loke turut melancarkan beberapa inisiatif baharu diperkenalkan JPJ termasuk e-Book Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP), JPJeID, JPJ Mobile dan bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan (FF) yang dibuka selama lima hari bermula hari ini menerusi JPJeBid.

“Saya yakin inisiatif baharu ini akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat serta membolehkan JPJ berada pada tahap terbaik sebagai penyedia perkhidmatan awam dan penguatkuasa yang mesra, cekap dan telus,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619