AGENDA

12,407 kemalangan direkodkan sepanjang Op Selamat 20/2023

12 Mei 2023, 9:40 AM
12,407 kemalangan direkodkan sepanjang Op Selamat 20/2023

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Sebanyak 12,407 kes kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang Op Selamat 20/2023 sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 20 hingga 27 April lalu, iaitu meningkat 0.1 peratus atau 11 kes berbanding 12,396 kemalangan pada Op Selamat 18/2022.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kemalangan maut pula merekodkan peningkatan 0.7 peratus iaitu 140 kes pada Op Selamat kali ini berbanding Op Selamat tahun lalu iaitu 139 kes, manakala jumlah kematian yang direkodkan pada kali ini 146 kes berbanding 145 kes pada Op Selamat 18/2022.

“Penunggang dan pembonceng motosikal kekal menjadi penyumbang utama bagi kes kematian yang direkodkan sepanjang Op Selamat kali ini dengan mencatatkan angka korban tertinggi iaitu 94 kematian.

“Ini menunjukkan peningkatan sembilan kematian daripada 85 kematian yang dicatatkan semasa kempen Op Selamat 18/2022,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 20 sempena Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Beliau berkata antara punca kes kemalangan maut disebabkan oleh kecuaian iaitu terbabas sendiri 44 kes, diikuti memasuki laluan bertentangan (20 kes) dan keletihan/mengantuk (20 kes).

Sementara itu, Acryl Sani berkata pada Op Selamat kali ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 12,023 laporan balik kampung iaitu 6,856 laporan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol, Hotline 999 (312) dan Borang Balik Kampung (4,855).

“Sebanyak 71,208 rondaan telah dijalankan ke atas kediaman dan premis yang ditinggalkan melibatkan rondaan MPV (unit kereta peronda), URB (unit rondaan bermotosikal) dan elemen balai.

“Bagi kes jenayah pecah rumah pula, 270 kes dilaporkan sepanjang Op Selamat 20/2023 berbanding 266 kes semasa Op Selamat 18/2022 iaitu peningkatan empat kes (1.5 peratus),” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619