AGENDA

Bomba lakukan penerbangan ihsan bawa pendaki patah kaki ke hospital

10 Mei 2023, 4:10 AM
Bomba lakukan penerbangan ihsan bawa pendaki patah kaki ke hospital

GUA MUSANG, 10 MEI: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan membawa keluar seorang pendaki Gunung Tahan yang patah kaki untuk menerima rawatan di Hospital Gua Musang di sini semalam.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata pesakit, Islahudian Abd Rahim, 41, dibawa menaiki pesawat Agusta Westland AW139 yang berlepas dari Subang pada jam 4.20 petang.

Beliau berkata pesawat tiba di puncak Gunung Tahan pada 5.20 petang untuk mengambil mangsa yang telah dibawa ke sana untuk mendapatkan bantuan.

“Pesakit dipercayai mendaki Gunung Tahan secara berkumpulan bersama empat rakan yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan.

"Mereka mendaki gunung di Merapoh dan dijangka turun melalui Gunung Tahan, namun apabila sampai di laluan menurun di Gedong, mangsa didapati patah kaki kanan dan sukar untuk berjalan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hasrizal berkata pesawat mendarat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada jam 5.40 petang dan mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menunggu ketibaan pesakit.

“Operasi diketuai Pegawai Kanan Penguasa Bomba Mohd Zukhairee Zabidi bersama empat anak kapal.

"Semua petugas selamat tiba di Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang pada 6.40 petang dengan keseluruhan jam penerbangan berdurasi dua jam 42 minit," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619